fbpx

PM mahu laporan pelaksanaan projek diluluskan dalam dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar melihat buku pelan sambil diperhatikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh pada Majlis Peluncuran PSKL2040 di ibu negara, hari ini. - Foto SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengemukakan laporan setiap pelaksanaan projek yang telah diluluskan dalam tempoh dua minggu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau juga mahu tahap kecekapan, kepesatan atau kecepatan kelulusan sesebuah projek yang ketika ini masih belum memuaskan dipertingkatkan.

“Kita ada mesyuarat tadi (selama) dua jam, jadi ada beberapa hal diluluskan. Dalam tempoh dua minggu kita minta laporan, kalau tak… dah lulus dibenamkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), di Institut Latihan DBKL, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya di majlis tersebut menegaskan, kecepatan kelulusan sesuatu projek adalah penting walau ada perubahan pelaksanaan terhadap projek-projek ketimbang tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, beliau bertemu beberapa syarikat besar di New York, Amerika Syarikat yang menyatakan Malaysia masih kalah dalam aspek kecepatan kelulusan berbanding beberapa negara lain seperti Vietnam.

“Sebab itu kalau ada pelan struktur dan belanjawan kita harus lihat mengapa dan di mana kita hadapi masalah dalam pelaksanaan tahun lalu atau tahun ini supaya tidak mengulangi kesilapan.

“Jadi saya anjurkan (tentang) tahap kelulusan itu. Pertama, satu bidang khusus di peringkat tertinggi yang masih kita kurang memerlukan latihan khusus dan profesionalisme yang lebih tinggi.

“Kedua, walaupun kita ini relatif efisien, tetapi tahap kecekapan atau kepesatan atau kecepatan kelulusan masih belum memuaskan. Ini saya nak ingatkan. Kita tidak boleh lengahkan projek yang telah diputus dan diluluskan,” katanya.

Justeru, katanya, beliau mahu dalam tempoh dua minggu laporan tentang pelaksanaan keputusan yang telah dibuat dikemukakan supaya tidak tertangguh sehingga tahun depan.

“Kalau tidak nanti keputusan kita mungkin ditangguh sehingga tahun depan kerana bulan Disember ini bulan yang separuh cuti. Saya tidak boleh terima kenyataan itu. Kalau nak cuti.. cuti, tetapi sebelum cuti bulan Disember mesti ada laporan berkala.

“Kritik itu harus kita terima dengan baik. Jangan berasa tersinggung. Memang benar ada kelewatan,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya berkata, beliau berharap DBKL menjadi jentera contoh bandar madani bukan sahaja dengan bangunan pencakar langit yang cantik, gerai yang bersih, perumahan yang indah serta kawasan hijau, tetapi tahap pengurusan yang cekap dalam meluluskan projek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI