BESUT – Tiga pekerja pembinaan disahkan masih tertimbus di dalam runtuhan tapak pembinaan sebuah resort di Pantai Alunan, Pulau Perhentian, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, identiti tiga mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Jamil, 33, Ramli, 48, dan Bahlu yang semuanya warga Indonesia.
“Empat lagi pekerja pembinaan iaitu tiga warga Myanmar dan dua tempatan yang berada di lokasi sewaktu kejadian, terselamat.
“Mereka yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, tiga daripada empat mangsa tersebut kemudiannya telah dipindahkan dengan bot ke Hospital Besut, di sini untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bangunan restoran resort setinggi tiga tingkat tersebut yang sedang dalam pembinaan dikatakan tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi.
“Kejadian runtuhan itu disedari penyelia resort tersebut yang ketika kejadian sedang tidur di premis lain kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat tiga mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus sedang giat dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE