fbpx

Tak sempat jalani transplan hati, isteri Tia reda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hajat isteri Allahyarham Tia, Suzan Ahmad untuk mendermakan hatinya kepada suami tercinta tidak kesampaian apabila penyanyi itu pulang ke rahmatullah malam tadi.

PETALING JAYA – “Tak sangka arwah pergi secepat ini namun saya reda, mungkin inilah jalan terbaik buatnya daripada menanggung kesakitan”.

Demikian luahan isteri kepada Allahyarham Tia, Suzan Ahmad mengenai pemergian penyanyi yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati tahap empat, pukul 9.17 malam tadi.

Walaupun suaminya pergi dahulu sebelum sempat menjalani pembedahan pemindahan hati yang dirancang dilakukan di Hospital Medanta New Delhi, India, Suzan mengakui tidak terkilan.

Katanya, dia sanggup berkorban mendermakan hati demi insan yang dikasihi walaupun berdepan risiko kehilangan nyawa.

“Siapa yang tak sanggup berkorban untuk orang yang kita sayang? Saya sedia menghadapi sebarang kemungkinan asalkan dia kembali sihat.

“Ikutkan pemeriksaan awal saya layak menderma (hati) kerana memiliki darah sama iaitu A+, cuma kena tunggu keadaannya stabil untuk membolehkan dia menaiki pesawat, selain cukupkan dulu tabungan.

“Allahyarham sebenarnya rasa sedih apabila dimaklumkan kondisinya, tapi kuat semula selepas saya yakinkan dia boleh sembuh,” luahnya lagi.

Pada masa sama, Suzan yang juga bekas wartawan mendedahkan arwah seakan mengetahui masanya sudah sampai apabila memberikan nombor kariah Masjid Kota Raja agar memudahkan urusan andai dia pergi lebih awal.

“Sebenarnya, semalam abang tunjukkan saya nombor individu yang saya perlu hubungi kalau jadi apa-apa kepadanya. Dia tak mahu susahkan saya.

“Saya tak rasa apa-apa dan minta jangan cepat putus asa kerana saya ada banyak pelan untuk pulihkan dirinya. Dia nampak okey cuma tetap minta saya tengok betul-betul nombor kariah dimaksudkan,” katanya.

Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja, Klang pukul 10.03 pagi tadi, manakala urusan mandi dan solat jenazah disempurnakan di masjid sama.

Sebelum ini, Tia disahkan menghidap kanser hati selepas menjalani pemeriksaan rapi dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam sejak Rabu lalu.

Memandangkan pihak hospital tersebut tidak mempunyai kepakaran khusus, Suzan mencari alternatif rawatan di India yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM250,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI