KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan media akan terus dipertahankan dan pendirian itu kekal seperti mana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, sebagai buktinya dalam tempoh kerajaan hari ini memerintah, tiada wartawan atau media yang ditahan oleh pihak polis.
Malah katanya, tidak ada satu akhbar atau syarikat media pun yang dipaksa tutup oleh pihak berkuasa.
“Sebagai komitmen dan sokongan kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media di negara ini serta membantu pengamal media menangani cabaran yang dihadapi, kerajaan secara dasarnya juga telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM).
“Penubuhan MMM itu adalah sebagai sebuah badan kawal selia kendiri melalui akta yang berkaitan dan mengambil kira peranan majlis tersebut untuk mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat.
“Sehingga kini sebanyak lapan mesyuarat telah diadakan dengan jawatankuasa Protem sejak Januari 2020,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu mengenai jaminan kerajaan tidak menyalahgunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyekat kebebasan media. – KOSMO! ONLINE.