WASHINGTON – Cahaya misteri yang muncul di langit sehingga menyebabkan sebilangan penduduk bandar San Diego, Amerika Syarikat (AS) membuat spekulasi mengenai objek terbang tidak dikenali (UFO) ternyata sebenarnya Pasukan Payung Terjun Tentera Laut AS.
Agensi berita United Press International melaporkan, pasukan itu dikenali sebagai Leap Frogs.
Penduduk San Diego menyiarkan beberapa gambar dan video cahaya misteri itu di media sosial malam kelmarin dengan sejumlah orang mempersoalkan sama ada ia adalah UFO yang terbang di langit bandar tersebut.
Leap Frogs kemudian mendedahkan di media sosial bahawa lampu itu sebenarnya adalah cahaya suar yang dibawa oleh ahli-ahli pasukan berkenaan.
Mereka membawa suar itu ketika membuat persembahan di Stadium Snapdragon untuk menyokong Kelab San Diego Wave FC dalam perlawanan separuh akhir Liga Bola Sepak Wanita.
“Jika anda melihat #UFO di langit #sandiego malam ini (kelmarin) sekitar pukul 6.20 petang (waktu tempatan), mungkin kami berulang-alik ke permainan @sandiegowavefc,” tulis pasukan payung terjun itu di media sosial. – AGENSI