BEIJING – China hari ini melancarkan sebuah kapal angkasa kawalan jauh untuk membawa kembali batu Bulan dalam percubaan pertama oleh mana-mana negara bagi mengambil sampel dari Bulan sejak empat dekad lalu.
Roket Long March 5 membawa kapal angkasa Chang’e-5 yang dinamakan sempena dewi bulan dalam mitos Cina, dilancarkan dari Pusat Angkasa Wenchang di Pulau Hainan, selatan China pada pukul 4.30 pagi (waktu tempatan), lapor agensi berita rasmi Xinhua.
Beijing membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk program angkasa lepas ketenteraannya dengan harapan akan memiliki sebuah stesen angkasa di orbit Bumi pada tahun 2022 dan seterusnya menghantar manusia ke Bulan.
Matlamat misi kali ini adalah untuk mengambil sampel batu dan tanah Bulan bagi membantu saintis mempelajari asal usul, pembentukan dan aktiviti gunung berapi di permukaan Bulan.
Misi asal dirancang pada 2017 tetapi ditangguhkan kerana kerosakan enjin roket Long March 5.
Sekiranya berjaya, China akan menjadi negara ketiga dunia yang mengambil sampel dari Bulan selepas Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, masing-masing pada tahun 1960-an dan 1970-an.
Kapal angkasa itu akan mengumpulkan dua kilogram sampel di kawasan yang belum diterokai sebelum ini di Bulan, dikenali sebagai Oceanus Procellarum atau ‘Lautan Ribut’. Kawasan itu terdiri daripada dataran lahar yang luas, demikian menurut jurnal sains Nature.
Kapal angkasa itu dijangka mendarat hujung November ini mengumpulkan sampe selama satu hari waktu Bulan atau sekitar 14 hari di Bumi.
Sampel itu kemudian dikembalikan ke Bumi dalam kapsul yang diprogramkan untuk mendarat di wilayah Inner Mongolia awal Disember ini. – AFP