Suami bergurau mengatakan perut isterinya sama seperti perut ibunya. Di mana dia hendak maksudkan buncit seperti ibunya yang sudah tua. Adakah situasi di mana suami mengatakan perut isterinya sama seperti perut ibunya dianggap lafaz zihar juga?
JAWAPAN: Zihar dari segi bahasa adalah az-Zohr (belakang) kerana gambaran zihar yang asal adalah bila mana seorang lelaki berkata kepada isterinya: “Engkau ke atasku ibarat az-Zohr ummi (belakang ibuku).
Pada zaman Jahiliah, zihar digunakan oleh suami yang membenci isterinya tetapi enggan menceraikannya lalu dia melakukan zihar.
Mereka menganggap status perempuan yang telah diziharkan itu sudah tak bersuami lagi, tapi masih tidak boleh berkahwin dengan suami baharu (bukan bersuami dan bukan bujang).
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar adalah perbuatan suami melafazkan kata-kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya dalam keadaan demikian, si suami wajib membayar kifarat zihar.
Ia juga memberi maksud; perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya bagi menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.
Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka, kemudian ingin menarik semula apa yang telah mereka katakan, maka (kaffarah ke atas mereka) dengan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya (suami isteri) itu bercampur.
Dan sesiapa yang tidak mendapatinya hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama. Sesiapa yang tidak mampu (untuk berpuasa dalam tempoh itu) hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin. Yang demikian itu supaya kamu beriman kepada Allah dan juga rasul-Nya.
Kesimpulannya, para ulama mazhab Syafii membincangkan perkataan suami; ‘perut awak seperti perut ibu saya’, dan ungkapan tersebut dihukumkan sebagai zihar jika dia berkata; “Awak adalah haram ke atas saya seperti haramnya perut ibuku.”
Ini kerana perkataan tersebut secara jelas bertujuan mengharamkan isterinya ke atas dirinya sendiri.
Namun, sekiranya perkataan itu adalah untuk memuji kecantikan isteri atau tujuan hanya untuk bergurau seperti apa yang terjadi kepada puan iaitu bertanya atau tanpa ada apa-apa tujuan, maka perkataan itu tidaklah termasuk dalam kes zihar yang diharamkan syarak.