fbpx

KASA tidak berkompromi dengan jenayah alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PUTRAJAYA – Kes penjenayah alam sekitar yang dituduh di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membuktikan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah alam sekitar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kes itu mencatat sejarah apabila menjadi kes jenayah alam sekitar pertama di Malaysia dituduh di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan Akta SOSMA.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Indah Water Konsortium di atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan.

Katanya, penghargaan sama turut dizahirkan buat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Pengurusan Air Selangor.

“Dalam tempoh kurang daripada 14 hari, dua orang dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang semalam (kelmarin) susulan insiden empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas hingga menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang pada 10 November lalu.

“Kes ini mencatat sejarah apabila menjadi kes jenayah alam sekitar pertama di Malaysia dituduh di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan Akta SOSMA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, kedua-dua tertuduh turut dihadapkan dengan lima pertuduhan lain di bawah Seksyen 34B(1)(a), Seksyen 34A(2), Seksyen 18(1) dan Seksyen 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974; dan Seksyen 61(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

Menurutnya, salah seorang daripada Orang Kena Tuduh (OKT) turut dituduh di Mahkamah Majistret Selayang di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian, Majlis Perbandaran Selayang, 2007.

“Selepas menimbangkan hujahan kedua-dua pihak, hakim memutuskan kedua-dua OKT tidak ditawarkan jaminan mahkamah dan tarikh sebutan semula kes telah ditetapkan pada 8 Januari 2021,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyeru orang awam untuk terus melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari.

“Aduan juga boleh dihantar menerusi e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI