fbpx

Konflik Palestin-Israel: Luka pesakit dipenuhi ulat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesakit memenuhi wad kecemasan di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, 5 November lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Hospital-hospital di Semenanjung Gaza menghadapi krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan 16 daripada 34 hospital kini tidak beroperasi, demikian menurut laporan terbaharu sebuah pertubuhan kebajikan, Medical Aid for Palestinians (MAP) seperti dilaporkan laman berita The New Arab.

Laporan tersebut turut memberi amaran bahawa masalah serius bagi kekurangan bekalan ubat yang penting dan air bersih telah membuatkan luka pesakit dipenuhi ulat.

Ketua Pembedahan di Hospital Al-Shifa, Dr. Marwan Abusada berkata, pihaknya kini mempunyai kapasiti sifar untuk hospital di tengah-tengah situasi bencana itu.

“Kami mempunyai 153 pesakit di wad kecemasan. Semua katil telah diduduki dan kami tidak mempunyai ruang untuk menempatkan para pesakit selepas mereka menjalani pembedahan. 

“Ramai pesakit turut dihinggapi sejenis ulat dipanggil lalat putih. Ia menghurung luka selepas pembedahan dan muncul selepas satu hari (pembedahan).

“Kebanyakan kecederaan dan pembedahan juga tidak mempunyai rawatan susulan kerana pasukan perubatan tidak dapat mengatasi kemasukan pesakit yang mengalami kecederaan pada setiap jam,” ujarnya.

Pada hari-hari biasa, Hospital Al-Shifa mempunyai kapasiti sebanyak 210 katil tetapi kini ia dibanjiri dengan lebih 800 pesakit yang terdesak mendapatkan rawatan.

Kakitangan perubatan pula bekerja dalam keadaan tertekan untuk menyediakan perkhidmatan penting seperti dialisis buah pinggang, katerisasi segera dan inkubator neonatal. 

Anggota perubatan menyatakan bahawa mereka hanya boleh memberikan perkhidmatan yang minimum kerana keadaannya sangat dahsyat.

Selain itu, kekurangan bekalan air bersih turut menjadi isu besar dengan Marwan menjelaskan, jabatan hospital hanya menerima air masin yang tidak boleh digunakan untuk tujuan kebersihan atau minuman.

Dalam pada itu, Rejim Israel turut mengebom generator utama di Hospital Wafa dan memburukkan lagi keadaan pesakit serta kakitangan perubatan.

“Israel mahu memutuskan kami daripada semua bekalan penting seperti air, elektrik, bahan api, ubat-ubatan dan makanan. 

“Bahan api yang ditinggalkan tidak lagi boleh digunakan untuk hospital. Kami hanya menggunakannya untuk tujuan ‘talian hayat’,” kata Marwan.

Sementara itu, di Hospital Indonesia, seorang pakar bedah, Dr. Tayseer Hassan berkata: “Kami melihat kecederaan yang mengerikan dan majoritinya ialah kanak-kanak. Jenis kecederaan yang kami lihat bukanlah sesuatu yang boleh diterima oleh minda manusia.”

Tambah Tayseer, pesakit-pesakit di kemudahan itu turut mengalami masalah luka dipenuhi ulat akibat masalah kapasiti bilik, bahan api, air, tiada ubat dan kebersihan.

“Terdapat ulat-ulat keluar daripada luka pesakit walaupun selepas melakukan pembedahan. Kami juga melakukan pembedahan dengan kehadiran ulat dan lalat. Tiada yang bersih, tiada yang disteril. 

“Lebih mematahkan hati saya adalah apabila mangsa-mangsa tiba dalam jumlah ramai di wad kecemasan dengan jenis kecederaan yang memerlukan ventilator.

“Kami terpaksa membiarkan sebahagian daripada mereka meninggal dunia kerana tidak dapat menanganinya,” kata Tayseer. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI