MANCHESTER – Penyerang Manchester City, Erling Haaland masih mampu meledak dua gol ketika membantu pasukan itu menewaskan Young Boys 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi semalam meskipun berdepan kecederaan buku lali.
Dua gol yang dijaringkan semalam menyaksikan dia sudah meledak 39 gol dalam 34 penampilan dalam Liga Juara-Juara dan semakin hampir menjadi pemain yang menjaringkan 40 gol dalam tempoh singkat, sekali gus meleburkan rekod Ruud Van Nistelrooy (45 perlawanan).
Pengurus City, Pep Guardiola gembira dengan kemenangan itu memandangkan mereka sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati lebih awal meskipun saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan.
“Walaupun sudah memastikan tempat ke pusingan kalah mati, namun semua pemain perlu ingat bahawa tugas masih belum selesai. Fokus utama selepas ini adalah untuk pastikan City mara sebagai juara kumpulan.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan pada malam ini (semalam), lebih-lebih lagi Haaland menjaringkan dua gol dan (Phil) Foden dengan satu gol. Semuanya berjalan seperti yang dirancang,” katanya.
Bagaimanapun, The Citizens perlu membayar kemenangan itu dengan harga mahal apabila pemain pertahanan, John Stones mungkin terpaksa diketepikan untuk tempoh yang panjang akibat kecederaan.
“Berdasarkan laporan diterima, ia adalah kecederaan otot dan dia mungkin terpaksa berehat untuk tempoh panjang. Saya bersimpati dengan nasibnya dan ia juga sesuatu yang malang untuk kami,” ujar Guardiola. – AGENSI