RAMUAN rempah-ratus kari debal menerbitkan keunikan rasa yang berbeza berbanding kari tempatan lain.
Masakan tradisional masyarakat Portugis di Melaka itu memiliki unsur fusion bahan tempatan dengan olahan gaya Eropah.
Kari debal ayam yang sering disajikan pada perayaan Krismas itu enak dimakan bersama nasi kukus panas, ulam dan papadum.
Juadah fusion Eurasia tersebut merupakan antara hidangan warisan yang ditawarkan di Paloh Restaurant and Bar di Temple Tree Resort Langkawi, Kedah.
Selain kari debal, masakan Melaka yang turut diperkenalkan di restoran terbabit adalah daging salai cili api dan nyonya laksa.
Menurut pengurus resort, Irene Vairo, masakan warisan tersebut diinspirasikan daripada suasana resort yang berkonsepkan rumah warisan.
“Secara keseluruhan, resort ini memiliki lapan jenis bangunan warisan yang dipindah dari serata negara, sebelum dibina semula di sini.
“Dari situ, inspirasi tercetus untuk mempersembahkan juadah warisan asli dari serata negara buat pelanggan kami,” katanya kepada Horizon.
Untuk pengetahuan, bangunan restoran tersebut merupakan rumah lama Ipoh milik pelombong bijih timah yang dibina sekitar 1900-an.
Unsur-unsur klasik pada restoran tersebut jelas kelihatan pada pemilihan perabot gaya retro dan kelengkapan lain berasaskan tembaga.
Atas dasar itu juga, restoran tersebut diberi nama Paloh bersempena nama lama Ipoh yang dilancarkan pada 8 Oktober lalu.
Oleh itu, para pelanggan perlu mencuba masakan warisan dari Perak iaitu daging kerutuk, Ipoh hor fun dan kari kepala ikan Ipoh.
Bagi penggemar masakan pedas, mereka boleh memilih daging salai cili api dari Negeri Sembilan atau asam pedas Johor.
Masakan Kelantan iaitu gulai itik dan masakan Pulau Pinang iaitu char kuetiau turut menjadi menu pilihan bagi kategori makanan warisan.
Menurut chef de partie resort itu, Roziyanishima Talhad, kesemua masakan warisan di resort berkenaan diinspirasikan daripada resepi turun-temurun cef-cef terlibat.
Kemudian, masakan-masakan akan dinilai oleh barisan pengurusan hotel dan masakan terbaik dipilih menjadi menu di restoran tersebut.
“Bagi pelanggan tempatan, konsep menu warisan ini pasti menggamit nostalgia lama mereka terhadap masakan kampung.
“Manakala untuk pelancong dari negara asing, mereka juga berpeluang merasai cita rasa tempatan pelbagai negeri di restoran ini,” jelasnya.
Selain makanan warisan, restoran itu turut menawarkan hidangan Mediterranean yang diilhamkan daripada persekitaran pulau dan resort.
Antaranya adalah cajun chicken caesar salad, hearty paloh burger, pasta bolognese, pasta al pomodoro, salmon pesto dan margherita pizzas.