KUALA LUMPUR – Padah menconteng tulisan ‘terrorist’ di tembok bangunan kedutaan Amerika Syarikat kerana tidak berpuas hati dengan konflik yang melanda Palestin, seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah, 23, selepas tertuduh yang bekerja sebagai jurutera projek itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Ridzwan didakwa melakukan khianat iaitu merosakkan harta kepunyaan Kedutaan Besar Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM200 iaitu menconteng tulisan ‘terrorist’ menggunakan penyembur cat warna merah.
Kesalahan itu dilakukan di tembok luar bahagian Utara Kedutaan Amerika Syarikat menghadap Jalan Tun Razak di sini antara pukul 5.30 pagi hingga pukul 5.45 pagi pada 28 Oktober lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda rendah tanpa pemenjaraan.
Menurutnya, Ahmad Ridzwan Al Amin yang masih bujang, perlu menanggung ibunya yang juga seorang ibu tunggal bersama seorang nenek.
“Anak guam melakukan kesalahan itu kerana tidak berpuas hati dengan kejadian yang melanda Palestine. Dia cuma mahu menyampaikan pandangan peribadinya kepada pihak kedutaan, dan bukan mahu menyebabkan kerugian kepada mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran. – KOSMO! ONLINE