BALIK PULAU – Tiga staf makmal Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bayu, Teluk Kumbar di sini terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terkena tumpahan asid nitrik di dalam bangunan itu, pagi tadi.
Ketiga-tiga mangsa berusia 32, 35 dan 44 tahun itu dilaporkan mengalami gatal-gatal pada kulit selepas kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 10.16 pagi dan operasi membabitkan keanggotaan dari BBP Seri Balik Pulau dan Bayan Baru.
Menurutnya, operasi tersebut turut melibatkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Bayan Baru terdiri daripada 10 anggota termasuk penyelia.
“Berlaku tumpahan sebotol asid jenis nitrik dengan kuantiti satu liter di dalam bilik makmal sekolah terbabit. Ketika kejadian, terdapat tiga staf makmal wanita yang telah tercemar.
“Mereka dikatakan telah tersentuh asid tersebut dan mengadu mengalami gatal-gatal pada kulit. Mangsa yang terlibat kemudiannya telah dinyah cemar menggunakan air,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Beritahu beliau lagi, pasukan Hazmat bertindak menjalankan kerja-kerja nyah cemar ‘Decontamination’ asid tersebut menggunakan ‘Soda Ash’ dan ‘Chemical Binder’ di dalam makmal terbabit
tambahnya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 12.59 tengah hari tadi.
Turut membantu melancarkan operasi tersebut adalah pasukan polis dan Pasukan Bomba Sukarela berhampiran. – KOSMO! ONLINE