SHAH ALAM – Empat pegawai penguat kuasa direman tiga hari bagi membantu siasatan menerima suapan bulanan keseluruhan RM14,000 selama lima tahun daripada seorang pemilik syarikat.
Suapan tersebut sebagai balasan membantu urusan tuntutan pembayaran penyelenggaraan bot-bot milik sebuah jabatan kerajaan.
Perintah reman bermula hari ini terhadap semua suspek lelaki berusia 42 hingga 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada prosiding reman itu, kesemua suspek diwakili Peguam Nor Azri Mohd. Arif, Muniandy dan Shalehhuddin Salam.
Sumber berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 6 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Katanya, dua suspek yang ditahan bertugas di Putrajaya manakala dua lagi suspek bertugas di sebuah daerah di Selangor.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan secara bulanan daripada pemilik syarikat tersebut.
“Kesemua wang itu dimasukkan ke akaun bank masing-masing dari tahun 2019 hingga tahun ini,” kata hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE