fbpx

Bekas Eksekutif Petronas dijel sehari, denda RM177,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Amal ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Perbuatan seorang bekas Eksekutif Petronas (Pembinaan) Carigali Sdn. Bhd (PCSB) menerima rasuah lebih RM35,000 hasil persubahatannya bagi kerja-kerja penyelenggaraan struktur PCSB berbalas apabila didenda RM177,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Amal M. Razalan, 36, menukar pengakuan bersalah atas dua pertuduhan dibacakan kepadanya pada hari pertama perbicaraan

Mahkamah turut memerintahkan penjara tambahan 18 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hukuman itu dijatuhi kepada bapa kepada dua anak itu turut mengambil kira 44 pertuduhan termasuk lima daripadanya dibawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang diakui dilakukannya mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, Mohd. Amal didakwa menerima suapan keseluruhan RM35,217.50 daripada seorang pengarah syarikat melalui dua keping cek sebuah bank hasil bersubahat dengan seorang pengarah syarikat lain sebagai upah membantu mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur kepada PCSB.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Bandar Puteri, Puchong pada 25 Oktober 2019 dan 20 Januari 2020.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican mewakili tertuduh dalam mitigasinya menjelaskan anak guamnya itu mempunyai dua anak berusia tujuh dan 11 tahun selain menjaga bapanya yang lumpuh seterusnya memohon hukuman sekadar memberikan pengajaran.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin pula menegaskan agar mahkamah mengambil kira keseluruhan fakta kes sebelum menjatuhi hukuman.

“Walaupun tertuduh mengaku salah, itu hanya bersifat pilihan. Mohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh sendiri dan masyarakat,” katanya.

Kosmo! pada 11 Januari lalu melaporkan Mohd. Amal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 46 pertuduhan termasuk lima penggubahan wang haram hampir RM9.65 juta antara 2018 hingga tahun lalu. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI