Dalam perkembangan teknologi masa kini, AI sudah menjadi teknologi umum dan diterapkan dalam beberapa sektor perkhidmatan.
Melihat potensi AI dalam sektor peruncitan, pengasas kedai pintar Mondo, Desmond Lam, meneroka teknologi itu dalam operasi kedai serbanekanya.
Menurutnya, idea membuka kedai dengan teknologi AI itu bermula semasa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.
Jelasnya, pada masa itu bukan hanya dia, tetapi semua rakyat Malaysia merasai pengalaman tidak dapat keluar dari lingkungan radius ditetapkan, amalan penjarakan fizikal dan banyak kedai berdekatan tidak beroperasi.
“Memikirkan aspek tersebut, tercetus idea untuk saya wujudkan kedai serbaneka yang boleh dibuka 24 jam tanpa memerlukan sebarang pekerja di premis,” katanya yang juga Ketua Pegawai Operasi kedai pintar Mondo ketika ditemui di premisnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menjelaskan bagaimana AI berfungsi untuk kedai serbaneka, Desmond memberitahu, penggunaan teknologi itu melibatkan 70 peratus operasi kedainya.
Bermula dengan sistem jual beli, AI digunakan untuk mengimbas setiap barangan dan seterusnya memproses pembelian tanpa tunai menerusi imbasan kod QR, e-dompet atau kad bank.
Meskipun pembelian tidak mempunyai resit, AI secara automatik akan merekod pembelian dan transaksi bank atau e-dompet pelanggan sebagai rujukan jika barangan dibeli terdapat sebarang kerosakan.
AI juga digunakan dalam sistem keselamatan yang mana setiap pelanggan yang masuk perlu mengimbas muka agar pintu dapat dibuka dan sepanjang mereka ada di dalam, teknologi itu akan beroperasi menggunakan kamera litar tertutup untuk mengawasi gerak geri mereka.
“Jika berlaku sebarang kecurian, AI secara automatik akan mengecam wajah mereka dan menghalang pencuri keluar dengan tidak membuka pintu.
“Sistem ini juga dikenakan terhadap individu yang cuba menipu pembayaran seperti cuba menyeludup beberapa barang yang tidak diimbas bersama item yang dibayar,” ujarnya yang membuka kedai pertama Mondo di Senai, Johor pada tahun 2021.
Jelasnya lagi, selain itu, sistem AI turut digunakan dalam pengurusan jualan (back-end) yang mana bukan sahaja laporan jualan harian, setiap barang yang dijual di kedai juga direkod dengan teliti oleh AI merangkumi jumlah stok, tarikh luput dan lain-lain.
Kongsi Desmond, dalam bahagian ini setiap rekod akan menjadi rujukan AI untuk memaklumkan kepada pengurusan atau pembekal menerusi sistem notifikasi tentang kemas kini produk mereka.
“Selalunya tugas ini dilakukan pekerja kedai, namun semuanya sekarang hanya dioperasikan oleh AI yang mana ia juga dapat mengurangkan kerugian dan kesilapan dalam kemas kini barangan.
“Ia juga secara automatik merekod barangan yang laris dan sebaliknya di kedai sebagai rujukan pihak pengurusan untuk merancang pelan dan perkembangan perniagaan,” jelasnya.