KUALA LUMPUR – “Kita akan bincangkan beberapa perkembangan dan kita akan jalankan tanggungjawab sebaik mungkin.”
Demikian respon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya pemberita sama ada beliau akan menggunakan pentas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 untuk menyuarakan isu Palestin-Israel.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Anwar memutuskan untuk hadir persidangan tersebut atas pertimbangan untuk menjaga hubungan diplomatik dan keamanan.
Bagaimanapun beliau menegaskan pendirian negara tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan menyokong Palestin.
Persidangan yang akan berlangsung pada 11 hingga 17 November ini akan turut dihadiri semua negara Asia dan negara-negara APEC atas undangan Presiden AS, Joe Biden.
Terdahulu, Anwar merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023) yang dianjurkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selama tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.- KOSMO! ONLINE