KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) akan menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) pada Khamis nanti sekiranya dua permohonan yang dicadangkan parti itu diluluskan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya masih konsisten dengan pendirian untuk menyokong RUU tersebut sekiranya dua permohonan utama yang dinyatakan sebelum ini diluluskan.
“Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz masih mempunyai masa untuk memberi pertimbangan sehingga Khamis ini .
“Tentunya kita menyokong Belanjawan 2021 dan sokongan kita juga memohon agar dua permohonan utama akan diluluskan. Kita ada masa sehingga Khamis ini bagi pertimbangan Menteri Kewangan,” katanya di lobi Menara Dato Onn malam tadi.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian hadir dalam mesyuarat Menteri-Menteri BN bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejak pukul 5 petang tadi.
Terdahulu, BN menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.
Dalam pada itu, mesyuarat Majlis Presiden BN memutuskan Menteri-Menteri BN perlu mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden UMNO setiap dua minggu sekali.
“Presiden akan bertemu dengan Menteri-Menteri dari BN untuk berbincang tentang dasar-dasar kerajaan. kami boleh memberikan pandangan terhadap dasar-dasar yang ingin dicadangkan kepada kerajaan melalui Menteri-Menteri BN,” ujarnya. – K! ONLINE.