PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) yang baharu bagi penjawat awam selewat-lewatnya akhir tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam ini.
Anwar berkata, garis panduan mengenai pelaksanaan skim baharu itu akan di umumkan awal tahun depan.
“Kita akan keluarkan beberapa garis panduan awal tahun depan supaya sebelum akhir tahun 2024 kita boleh umumkan skim gaji baharu itu. Saya akui dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji bagi setiap 10 tahun dan ketika ini, skim lama sudah masuk tahun ke-12.
“Sebelum ini tidak ada kajian menyeluruh, tetapi sekarang saya telah umum dan akan lakukan kerana ia mengambil masa ekoran melibatkan semua jabatan,” katanya.
Katanya, Kerajaan Madani mempunyai dasar jelas mengangkat tahap ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekurang-kurangnya dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya umum akan datang.
Sebelum ini, Anwar mengarahkan supaya Kajian SSP disiapkan pertengahan tahun depan untuk memastikan struktur gaji baharu kepada penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan akan datang.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif awal Kajian SSP RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak. – KOSMO! ONLINE