PETALING JAYA – Hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang dijangka tertumpu sekitar negeri di utara Semenanjung serta di bahagian Pantai Timur sehingga pukul 10 malam hari ini.
Ramalan itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laporan cuaca di Facebook sebentar tadi.
Menurut MetMalaysia, antara kawasan terlibat adalah seluruh negeri Pulau Pinang, Perak dan Gua Musang, Kelantan.
Selain itu, di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin.
“Di Selangor, hujan lebat serta ribut petir tertumpu di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor serta Jempol dan Tampin, Negeri Sembilan.
“Cuaca buruk ini juga dilihat melanda Melaka dan sebahagian negeri Johor, antaranya Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru,” kata MetMalaysia.
Tambah MetMalaysia, hujan lebat juga dilaporkan melanda sekitar Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan) serta Labuan. – KOSMO! ONLINE