SHAH ALAM – Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) memperuntukkan perbelanjaan modal antara RM1.2 dan RM1.4 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi pembinaan saluran paip gas sepanjang 700 hingga 800 kilometer (km) di Semenanjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan perniagaan teras Kumpulan.
Melaluinya, Kumpulan akan terus menambah tenaga kerja dan infrastruktur dalam usaha mengembangkan pangkalan pelanggan.
Jelas beliau, gas asli terus relevan sebagai bahan api peralihan ke arah negara rendah karbon, yang mana ia dilihat sebagai bahan api fosil yang paling bersih dan membebaskan karbon pada kadar lebih rendah, meskipun ketika industri mula diperkenalkan dengan pelbagai pilihan tenaga boleh baharu (RE).
“Buat masa ini kami memiliki saluran paip gas sepanjang 2,800 km yang kebanyakannya membekalkan gas asli kepada industri.
“Kami turut membekalkan gas kepada kawasan komersial dan berpenduduk,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Kemampanan Perniagaan Gas Malaysia di sini hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pelan tersebut antara lain mengetengahkan usaha Kumpulan untuk menukarkan keseluruhan 120 hingga 130 kenderaannya yang sedia ada kepada kenderaan elektrik menjelang 2032, selain membina sistem solar atas bumbung di semua pejabatnya secara berperingkat.
Pada masa sama, Ahmad Hashimi menjelaskan pihaknya turut melihat kepada sumber tenaga lain seperti hidrogen, metanol dan ammonia, namun ia masih pada peringkat awal.
Tambah beliau, pihaknya kini teruja dengan perkembangan perniagaan biometana yang mana Gas Malaysia telah membina dua stesen biometana di Johor dan menyuntik gas tersebut ke dalam saluran pengedaran gasnya.
“Jadi gas yang sampai kepada pengguna akhir memiliki elemen kecil biometana, yang mana ia bersifat hijau dan bersih.
“Kami akan mentauliahkan dua tapak lagi sebelum separuh tahun pertama 2024, setiap tahun kami akan menggandakan jumlah stesen biometana kami untuk tempoh beberapa tahun akan datang yang melibatkan pelaburan antara RM15 juta dan 20 juta bagi setiap tapak.
“Kami percaya Gas Malaysia adalah peneraju dalam bidang ini dan kami akan terus berhubung dengan kerajaan serta pihak berkuasa bagi memastikan kami beroleh sokongan mencukupi dalam hal ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE