fbpx

PBB rayu dana Gaza RM5.59 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PBB melancarkan rayuan kemanusiaan untuk Gaza bagi membantu 2.7 juta rakyat Palestin. - Foto AFP/Getty Images

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), NEW YORK  – Setiausaha Agung PBB,  Antonio Guterres melancarkan rayuan dana kemanusiaan berjumlah AS$1.2 bilion (RM5.59 bilion) untuk membantu 2.7 juta rakyat Palestin, lapor agensi berita Anadolu semalam.

Tegas beliau, tiada mana-mana pihak dalam konflik bersenjata di Gaza itu mengatasi undang-undang kemanusiaan antarabangsa selepas tentera Israel dan Hamas terlibat dalam pertempuran sejak 7 Oktober lalu.

“Saya amat bimbang tentang pencabulan jelas undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang kita saksikan. Biar saya jelaskan,  tiada pihak dalam konflik bersenjata ini mengatasi undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Guterres.

Sambil menyifatkan keadaan Semenanjung Gaza yang dikepung Israel sebagai ‘lebih daripada krisis kemanusiaan’, Guterres menegaskan, tamadun manusia kini berdepan krisis sehingga menggegarkan dunia dan rantau Asia Barat.

Beliau menegaskan bahawa perlindungan orang awam mesti diutamakan dan menekankan bahawa Gaza menjadi kubur besar untuk kanak-kanak dengan ratusan kanak-kanak perempuan dan lelaki terkorban atau cedera pada setiap hari.

“Bencana yang berlaku menjadikan keperluan gencatan senjata kemanusiaan lebih mendesak setiap jam,” tambahnya.

Lebih 10,000 rakyat Palestin termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza,  manakala hampir 1,600 orang terbunuh di pihak Israel. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI