fbpx

Selangor uji teknologi nano rawatan awal air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZHAM(dua kanan) dan Haslina (kanan sekali) pada program bual bicara itu.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang menguji satu kaedah teknologi nano yang berfungsi untuk merawat air sungai tercemar pada peringkat awal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan  Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, kaedah itu melibatkan penyediaan sejenis mikro organisma yang akan diletakkan di semua kawasan hulu sungai di negeri ini.

“Secara umumnya, mikro organisma itu akan hidup di dalam air dan berupaya menapis sebarang pencemaran yang berlaku.

“Kita sudah memulakan kajian itu selama seminggu dan masih menunggu keputusan makmal untuk mengimplikasikannya kelak,” katanya pada program Bual Bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? menerusi Facebook (FB) rasmi MediaSelangor, malam ini.

Program selama sejam itu turut disertai  Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai & Pantai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Haslina Amer.

Jelas Izham, pihaknya setakat ini mendapati teknologi daripada Amerika Syarikat itu menunjukkan hasil positif.

“Sepanjang tempoh seminggu mendapati berlaku perubahan warna dan penurunan kadar pencemaran hasil menerusi pensampelan air tercemar.

“Keadaan itu menunjukkan bahawa rawatan awal air dapat dilakukan di hulu sungai sebelum memasuki sesuatu muka sauk sehingga menyebabkan pencemaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Haslina berkata, skuad Pantas LUAS turut sentiasa mengambil pensampelan air setiap dua jam di kawasan sungai bagi mengesan pencemaran air atau bau.

“Skuad itu juga menjalankan pemantauan berterusan di semua anak sungai termasuk kawasan lembangan di negeri ini.

“Selain itu, rondaan kerap dilakukan bersama agensi lain di semua lokasi berisiko dan mempunyai manual kecemasan yang akan segera diaktifkan jika berlaku pencemaran sungai,” katanya.

Kekerapan gangguan bekalan air menimbulkan rasa kesal dan muak rakyat Selangor yang terpaksa menempuh keperitan itu terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam kejadian terbaru pada 10 November lalu, pencemaran bau air mentah dikesan di Sungai Se­langor dan dipercayai berpunca dari kawasan perindustrian kecil di Jalan Velox, Rawang.

Pencemaran itu mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas sekali gus menjejaskan lebih enam juta pengguna di tujuh wilayah. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI