LONDON – Penggempur Chelsea, Nicolas Jackson mengakui sangat gembira selepas berjaya meledak hatrik pertamanya bersama pasukan itu sambil mengakui sangat bertuah diberikan peluang beraksi bersama pasukan gergasi di England.
Jackson berjaya meledak tiga gol dalam tempoh 22 minit untuk membantu The Blues menewaskan Tottenham Hotspur 4-1 dalam perlawanan yang penuh ‘drama’ melibatkan dua layangan kad merah, sepakan penalti dan lima jaringan yang dibatalkan.
Tidak hanya membantu kemenangan Chelsea, Jackson juga muncul pemain pertama yang melakar hatrik ke atas Spurs sejak legenda mereka, Jimmy Floyd Hasselbaink melakukannya ketika musim 2002.
“Saya sangat gembira selepas tempoh yang sukar dilalui oleh pasukan dan semua orang di kelab ini. Kami sudah kembali biarpun agak perlahan dan saya teruja kerana berjaya meledak hatrik.
“Ia adalah hatrik pertama saya di sini dan ia adalah menakjubkan kerana dapat melakukannya bersama sebuah kelab besar di England. Saya perlu terus bekerja keras dan kami juga perlu terus berusaha,” katanya.
Jackson sebelum ini berdepan kritikan hebat oleh para peminat Chelsea ekoran persembahan hambar yang dipamerkan sejak berhijrah dari Villarreal pada musim panas lalu apabila sekadar meledak dua gol dalam sembilan aksi Liga Perdana Inggeris.
Pengkritik bola sepak dan legenda England, Alan Shearer sebelum ini menganggap Jackson bukanlah seorang penyerang yang natural dan bergelut untuk menyesuaikan diri pada posisi serangan.
Namun, pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino tampil mempertahankan pemainnya itu dan percaya Jackson mampu mempamerkan kualiti, tetapi perlu diberikan sedikit masa. – AGENSI