PETALING JAYA- Jumlah penduduk yang terjejas banjir di Selangor meningkat kepada 692 orang daripada 175 keluarga setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, manakala lapan lagi masih dibuka.
“Di Petaling, seramai 68 mangsa terdiri daripada 14 keluarga ditempatkan di sebuah PPS, manakala di Kuala Langat pula sebuah PPS dibuka bagi menempatkan 30 mangsa terdiri daripada lapan keluarga.
“Di Hulu Langat pula, seramai 83 mangsa terdiri daripada 19 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bangi.
“Di Sepang, seramai 498 mangsa terdiri daripada 132 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Kampung Datuk Ahmad Razali, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 13 mangsa terdiri daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Desar Hulu Yam Bharu, Hulu Selangor susulan bencana kebakaran. – KOSMO! ONLINE