PETALING JAYA – Pelakon Uqasha Senrose memohon maaf dan mengakui kekhilafannya selepas dituduh tidak sentitif apabila mempromosikan penganjuran konsert aktor Bollywood terkenal, Hrithik Roshan di Malaysia pada 1 Disember nanti dalam Instagram miliknya.
Uqasha atau nama lengkapnya Zik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, ketika sesi Live dalam Instagramnya hari ini berkata, dia telah pun memadam hantaran tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Saya sudah pun padam hantaran tersebut dan ingin memohon maaf. Bukan kerana saya tidak sensitif tentang isu semasa. Yang salah tetap salah.
“Terima kasih atas teguran semua. Mana-mana pengikut yang sudah ‘unfollow’ saya, itu saya tidak boleh halang,” katanya.
Pada masa sama, Uqasha juga mahu memperbetulkan salah faham netizen apabila dia dituduh tidak ambil tahu tentang peperangan di Palestin sehingga dirinya dilabel liberal dan neutral.
“Saya hendak memperbetulkan bahawa, saya ada menyebarkan kesedaran tentang isu di Palestin. Setiap hari saya kongsikan dan ambil tahu, tapi kena ‘remove’ (dipadam),” jelas Uqasha.
Ujar isteri kepada aktor Kamal Adli itu lagi, setiap hari dia mengikuti perkembangan terkini krisis Palestin-Israel, namun menganggap tidak semua perkara perlu dikongsikan dalam media sosialnya, termasuk perihal produk berkaitan Israel yang diboikot.
“Saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Apa yang boleh saya cakap, setiap perkara yang saya lakukan, produk yang saya boikot (berkaitan Israel), sumbangan yang telah saya buat, rasanya tidak perlu untuk saya beritahu kepada semua orang.
“Bila saya kongsi tentang konsert Hrithik Roshan, terus dicop tidak sensitif. Ada komen mengatakan saya liberal dan neutral. Semua itu tidak benar.
“Saya akui dan terima kekhilafan saya berkongsi tentang konsert tersebut. Mungkin saya alpa seketika sebab terlampau minat dengan dunia Bollywood. Saya jadi teruja,” jelasnya.
Sebagai manusia biasa, Uqasha berkata dia juga tidak terlepas melakukan kesilapan. Namun, tindakannya memadam hantaran tersebut bukanlah kerana bimbang kehilangan pengikut dalam media sosial
“Apabila saya ditegur dengan cara baik, barulah saya sedar kesilapan ini. Okey saya menerimanya. Cuma saya mahu betulkan, saya ambil tahu tentang Palestin,” tegasnya.
Pada masa sama, pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu memaklumkan telah diberi tiket konsert tersebut oleh pihak penganjur dan cuma menjalankan tugasnya sebagai artis untuk mempromosikan acara terbabit.
“Penganjur beri tiket kepada saya. Jadi, saya lakukan tugas saya (untuk promosi). Saya sudah pun memaklumkan kepada mereka (penganjur) terpaksa padam hantaran itu.
“Ini bukan masa yang tepat untuk saya kongsi perkara-perkara seperti itu. Banyak pihak yang sedang sensitif dan saya sendiri pun terleka,” ujarnya.
Untuk info, selepas lapan tahun tidak bertandang ke Malaysia, bintang Bollywood, Hrithik Roshan bakal bertemu peminat menerusi konsert Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert di Stadium Nasional pada 1 Disember ini. – KOSMO! ONLINE