PUTRAJAYA- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan rakyat di negara ini masih tidak sependapat mengenai konflik tercetus antara Palestin dan Israel yang telah mengorbankan ribuan nyawa ketika ini.
Katanya, keadaan itu berikutan ramai rakyat masih percaya bahawa perang tersebut berpunca daripada perbezaan antara rakyat Palestin dan orang Yahudi yang mungkin menjadi antara faktor permulaan kepada konflik itu.
“Tetapi sekarang ini, ia sudah seperti percabulan hak asasi rakyat Gaza. Seperti manusia lain yang punyai hak, mereka berhak menikmati hak kemanusiaan, tetapi ianya dirampas Israel,” katanya dalam satu ciapan di aplikasi X hari ini.
Dr. Mahathir berkata, orang ramai mungkin tidak melupakan peristiwa berlaku sekitar tahun 1930 di mana orang Yahudi di Jerman telah dirampas hak kemanusiaan hingga menyebabkan lebih enam juta individu dibunuh.
“Dunia bersimpati terhadap Yahudi di Jerman dan sebahagian daripada bantahan terhadap Nazi adalah sifat kebinatangan Nazi Jerman.
“Jutaan manusia mati untuk mengakhiri kesengsaraan orang Yahudi.
“Sekarang kita saksikan orang Yahudi Israel pula melakukan rampasan kepada hak Palestin. Ini tragedi kemanusiaan, perlakuan Israel sama seperti dilakukan Nazi terhadap orang Yahudi iaitu tidak adil serta tidak berperikemanusiaan,” tegasnya.
Susulan itu, Dr. Mahathir mahukan agar semua rakyat Malaysia menolak perbuatan merampas hak kemanusiaan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Adalah salah apabila hanya umat Islam sahaja menuntut pengakhiran pembunuhan besar-besaran yang dilakukan Israel.
“Seluruh rakyat Malaysia perlu merasa terganggu dan mendesak serangan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE