fbpx

Program konservasi lindungi Pulau Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (dua dari kanan) berkenan menyampaikan sijil penghargaan di program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Pelaksanaan program konservasi di Taman Negeri Pulau Sembilan, Lumut adalah penting terutamanya ketika dunia berhadapan dengan isu sampah sarap yang dilaporkan semakin meruncing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Taman Negeri Pulau Sembilan merupakan salah satu daripada khazanah negeri yang amat bernilai ekoran ia memiliki keindahan yang menakjubkan selain terkenal dengan kekayaan dan kepelbagaian biodiversiti marin.

Beliau berkata, ekosistem marin berdepan pelbagai ancaman sama ada melibatkan akibat aktiviti manusia mahu pun ancaman semula jadi.

“Umum mengetahui, isu perubahan iklim turut memberi kesan kepada lautan dan ekosistem marin akibat peningkatan dan pengasidan air laut, kelunturan karang serta hakisan pantai. Laporan daripada World Ocean Summit menganggarkan kadar kehilangan habitat marin adalah sebanyak 0.2 hingga 7 peratus setahun.

“Bersandarkan kesedaran itu, Perbadanan Taman Negeri Perak telah pun mengambil inisiatif mengadakan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan pada 23 September lalu, sebagai pemula kepada pelbagai rancangan dan program konservasi.

“Ini adalah usaha berterusan bagi memulihara khazanah marin secara lebih khusus di perairan gugusan Pulau Sembilan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan 2023 di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah turut mencemar duli menghadiri majlis berkenaan.

Saarani berkata, hasil kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk para sukarelawan dan penyelam daripada Nature & Oceanography Advocate Society, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Persatuan Aktivitis Sahabat Alam dan Samudera 9 Perak, sebanyak 2,282 kilogram (kg) sampah di Pulau Sembilan.

Katanya, ia terdiri daripada peralatan perikanan atau marin, plastik, aluminium, kaca, serta bahan tidak boleh dikitar semula.

Selain itu, menurut beliau, sebanyak 554kg pukat hanyut turut dikumpul melalui aktiviti pembersihan bawah laut, bahkan usaha yang sama juga dijalankan pada tahun lalu dengan hasil kutipan sampah sebanyak 1,428kg.

“Selain aktiviti pembuangan sampah, sektor pelancongan yang tidak mampan turut menjejaskan kelestarian destinasi dan produk. Kita perlu mengambil iktibar bagaimana destinasi pelancongan terkemuka seperti Gunung Everest, Machu Picchu and Stonehenge amat terkesan akibat pembuangan sampah sarap tinggalan pelancong.

“Oleh itu, usaha murni yang dilaksanakan sukarelawan bersama-sama Perbadanan Taman Negeri Perak dengan melakukan pembersihan sampah di sekitar Pulau Sembilan adalah amat dihargai.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada urusetia Taman Negeri Pulau Sembilan dan para sukarelawan yang tidak jemu-jemu menyumbang masa dan tenaga selain komitmen jitu jabatan-jabatan dan agensi yang turut sama-sama menjayakan program konservasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI