fbpx

Banjir: Sebahagian Polis Selangor tidak dibenarkan cuti sepanjang MTL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein ketika sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini. -Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Polis Selangor ‘membekukan’ sebahagian daripada 15,000 anggota dan pegawai Polis Selangor sebagai persediaan menghadapi banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, anggota polis di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri telah diminta turun ke lokasi banjir sekiranya berlaku bencana di bawah pentadbiran mereka.

“Setiap daerah ada pasukan tersendiri yang akan bertugas secara bergilir dan sepanjang tempoh ini (MTL), mereka tidak boleh bercuti.

“Kita juga telah mempersiapkan aset sendiri seperti kereta, lori dan bot yang akan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) banjir,” katanya selepas majlis pelupusan barang kes dadah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, lebih 20 anggota polis dan lebih 10 buah aset daripada empat IPD iaitu IPD Kajang, Kuala Langat, Subang dan Sepang terlibat sepanjang operasi SAR banjir di Kampung Bangi Lama.

Kata Hussein, beliau akan mempengerusikan mesyuarat persediaan banjir dengan beberapa agensi berkaitannya, esok bagi memperkemaskan operasi SAR.

“Buat masa ini, kejadian banjir (di Selangor) hanya di peringkat daerah, yang mana ia mampu ditangani oleh IPD itu.

“Sebahagian besar anggota kini sedang giat menjalani latihan berenang, mengemudi bot dan tindakan melibatkan penyelamatan mangsa dalam air,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hussein turut menasihatkan supaya mangsa banjir mengikuti arahan anggota pasukan keselamatan termasuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Polis beri jaminan akan menbuat rondaan secara berkala di tempat dinaiki air bagi mengelak kejadian jenayah pecah masuk rumah dan sebagainya,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI