fbpx

ACL: JDT enggan berputih mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Esteban Solari bersama penyerang JDT, Fernando Forestieri dalam sidang media pra perlawanan JDT menentang Ulsan Hyundai semalam. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu mencari kemenangan ketika berdepan juara Liga 1 Korea, Ulsan Hyundai pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Biarpun beraksi di kubu kuat Harimau Selatan, Solari sedar kemenangan itu bukanlah datang bergolek kerana pasukan Korea Selatan tersebut turut turun untuk mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya.

Katanya, pemain JDT perlu berjuang bermatian bagi menghidupkan peluang wkil tunggal Malaysia itu mara ke pusingan seterusnya, mengulangi kejayaan musim lalu.

“Ulsan Hyundai yang juga juara liga Korea itu bukanlah lawan yang mudah namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh dikalahkan. Semua pemain seharusnya memberi aksi terbaik bagi mengutip tiga mata.

“Setiap pemain sedar apa yang perlu dilakukan pada perlawanan itu dan cuba yang terbaik bagi menyaingi kehebatan pasukan lawan.

“Pemain juga perlu mengekalkan momentum kemenangan yang dibina pada aksi liga tempatan selain mengekalkan corak permainan pantas yang diterapkan selama ini,” katanya.

Kumpulan I menyaksikan pasukan Jepun, Kawasaki Frontale berada di posisi pertama selepas memenangi tiga perlawanan diikuti Ulsan Hyundai di tempat kedua dengan enam mata dan JDT di tempat ketiga, hasil kemenangan ke atas kelab Thailand, BG Pathum United.

Pengendali kelahiran Argentina itu turut mengingatkan setiap pemain yang akan diturunkan supaya tidak melakukan kesilapan mudah pada pertemuan penting menentang skuad kendalian Hong Myung-bo.

Katanya, persiapan lebih terarah memperkemas lagi taktikal disiplin yang bakal diterapkan supaya dapat menguasai permainan tersebut.

“Jika diimbas permainan lalu, kita mudah membenarkan lawan menjaringkan gol, malah ia turut berlaku ketika menentang BG Pathum, ini tidak boleh lagi berulang kerana akan menjejaskan permainan kami.

“Justeru, kita akan cuba bermain lebih menyerang serta memperkemaskan lagi benteng pertahanan supaya tidak memberi ruang buat lawan mendapatkan gol,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI