fbpx

ACL: Ulsan Hyundai sedia baham Harimau Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hong Myong-bo (kiri) bersama penyerang Ulsan Hyundai, Kim Ji-Hyun bersiap sedia hadapi tentangan JDT pada aksi ACL di Stadium Sultan Ibrahim malam ini. Foto oleh Faizal Hashim/KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo tidak mahu kemenangan 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai ukuran pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Bagi Myung-bo, perlawanan pada malam ini adalah pertemuan yang berbeza dan mereka tidak akan mengambil jalan mudah untuk membawa pulang tiga mata.

Myung-bo percaya skuad bimbingan Esteban Solari itu mempunyai muslihat yang tersendiri bagi menafikan hasrat pasukannya memperoleh dua kemenangan berturut-turut, lebih lagi apabila beraksi di gelanggang keramat mereka.

Malah Pengendali pasukan yang bergelar juara Liga I Korea itu menepis dakwaan sengaja merehatkan tiga bintang utama, kapten Jung Seung-hyun, Darijan Bojanic dan Gustav Ludwigson ketika aksi menentang Daegu, 29 Oktober lalu kerana mahu memberi tumpuan pada aksi menentang JDT.

“Saya mengambil keputusan itu berdasarkan prestasi semasa pada sesi latihan dan tidak ada kaitan dengan perlawanan ini.

“Bagaimanapun, kita telah menjalankan persiapan rapi untuk pertembungan sengit ini dan percaya semua pemain sudah bersedia menggalas tugas bagi misi penting membawa pulang tiga mata,” katanya.

Kemenangan pada perlawanan ini juga penting buat kelab Korea Selatan itu yang mengintai posisi teratas Kumpulan I sekali gus memberi tekanan kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale yang cemerlang mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan.

Jurulatih yang berusia 54 tahun itu tidak mahu menjadi faktor cuaca di Malaysia sebagai alasan pasukannya tidak mampu beraksi pada tahap tinggi seperti yang dimahukan.

“Kita tidak boleh mengawal keadaan cuaca dan hal itu tidak akan menjejaskan aksi pasukan setelah kita mempunyai perancangan ampuh untuk berdepan JDT,” tambahnya.

Dalam pada itu, penyerang Ulsan Hyundai, Kim Ji-hyun akui berdepan tugas berat untuk menggempur benteng Harimau Selatan dalam misi mengutip tiga mata.

Tambahnya, dia yakin rakan sepasukan akan mampu menyerap tekanan apabila beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong JDT yang akan membanjiri stadium itu.

“Bagi saya, soal tekanan adalah sebahagian daripada perlawanan dan pemain perlu bijak untuk menghadapinya. Bagaimanapun kami tetap hormati JDT sebagai Lawan yang sukar, ” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI