SABAK BERNAM – Ketukan pintu tanpa salam yang berlaku di Kampung Batu 37 Darat di sini masih belum terjawab walaupun sudah memasuki hari kelima semalam.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti kampung itu, Muhammad Nazri Saiman berkata, ‘makhluk’ tersebut dikatakan beralih kepada mengetuk pintu belakang selepas penduduk bersepakat berjaga-jaga di bahagian depan rumah termasuk menyalakan lampu.
Menurut beliau, penduduk kampung kini semakin rimas dengan situasi tersebut yang berterusan sejak Rabu lalu dan masih belum mendapat jawapannya.
“Penduduk kampung sudah mula takut kerana gangguan ketukan itu berterusan sehingga malam tadi (kelmarin). Ada penduduk yang diganggu dua kali dalam masa lima hari.
“Rondaan pada pukul 10 malam hingga 4 pagi juga telah dibuat di kampung ini, namun setakat ini tiada sebarang kelibat manusia atau entiti yang tular di laman Facebook dikesan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Muhammad Nazri, sebelum ini, pihaknya telah mengarahkan semua penduduk membuka lampu hadapan rumah masing-masing, namun sebaliknya berlaku apabila entiti itu beralih mengetuk pintu belakang.
Bagi meredakan kejadian itu, Muhammad Nazri berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat hari ini bagi memohon pertolongan Allah.
“Sebelum ini, kampung yang berusia lebih 100 tahun ini aman daripada sebarang gangguan dan sekiranya dilakukan oleh manusia, saya amat berharap pelakunya segera ditangkap.
“Jika sebaliknya pula, kami terbuka menerima pakar perubatan Islam atau bomoh untuk membantu menyelesaikan masalah itu secara percuma,” katanya.
Sementara itu, penduduk yang dikenali Farasiqyn berkata, dia berasa bimbang dengan kejadian ketukan itu termasuk melibatkan unsur pukau.
“Hendak tidur lena pun susah, sebab rumah diketuk,” katanya.
Artikel berkaitan : Rumah ramai penghuni jadi pilihan
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk kampung berkenaan mewakili 24 buah rumah yang diganggu ketukan tersebut.
“Hasil siasatan awal ketukan itu berlaku di pintu hadapan, dapur dan tepi rumah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan Seksyen 13(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955._! ONLINE