fbpx

Bunuh Kevin Morais: Pendengaran rayuan 6 lelaki ditangguh ke 4 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Kevin Morais

PUTRAJAYA – Pendengaran rayuan enam lelaki yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui dalam tong dram ditangguhkan ke 4 Disember ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas peguam M.Manoharan, memaklumkan sudah menerima namun belum meneliti rekod rayuan kerana baru dilantik mewakili salah seorang perayu iaitu R. Dinishwaran, 31.

“Saya memohon jasa baik mahkamah untuk membenarkan penangguhan singkat (pendengaran rayuan). Saya belum meneliti rekod rayuan dan perlukan masa (untuk bersedia dengan hujahan),” katanya.

Mendengar perkara itu, hakim Hadhariah kemudian menetapkan 4 Disember ini bagi tarikh pendengaran seterusnya.

“Rayuan akan didengar pada 4, 7 dan 14 Disember ini, tiada lagi penangguhan. Ini tarikh pendengaran terakhir selama tiga hari untuk hujahan,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah
Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Selain Manoharan, peguam-peguam lain yang hadir adalah Datuk N. Sivananthan, Burhanudeen Abdul Wahid, Afifuddin Ahmad Hafifi, Amer Hamzah Arshad dan Kitson Foong yang mewakili lima lagi perayu.

Responden-responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar bersama-sama Mohd. Fairuz Johari dan Mohd. Fuad Abdul Aziz.

Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati terhadap
pakar patologi, Kolonel Dr.R. Kunaseegaran, 60, selaku tertuduh pertama; pemberi pinjaman wang, S.Ravichandran, 52, dan empat penganggur Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, 30, M.Vishwanath, 33, dan S.Nimalan, 30, selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais yang mayatnya ditemui disimen dalam tong dram lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati semua tertuduh mempunyai niat bersama untuk melakukan pembunuhan ke atas Kevin Morais.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, pada 4 September 2015.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi berkata, mahkamah mengambil penelitian dengan penemuan sarung tangan yang mengandungi kesan darah milik Kevin Morais dalam kereta Mitsubishi Triton (milik tertuduh) yang digunakan untuk melanggar kenderaan yang dipandu mendiang.

“Ia termasuk penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) mendiang pada baju-T hitam milik salah seorang tertuduh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI