KENYATAAN ini barangkali bersifat sedikit kontroversi dan mengundang amarah kebanyakan pihak, namun memboikot produk Israel atau sebaliknya, itu terpulang kepada individu.
Kata orang tepuk dada, tanyalah selera. Kalau sesiapa yang membaca tulisan ini berasakan bahawa memboikot produk buatan Israel itu sebagai satu bentuk ‘jihad’ membantu saudara seagama di Gaza, Palestin, teruskan berbuat demikian.
Pada masa sama, janganlah menghakimi atau ‘memulaukan’ idea bahawa orang lain juga barangkali membantu mereka yang terkesan di Gaza dengan cara tersendiri.
Janganlah sampai putus kawan pertalian saudara hanya kerana berbalah pendapat soal boikot-memboikot.
Jangan hanya kerana seseorang itu melangkah masuk ke restoran tema atau ronanya merah dan kuning, terus melabel dirinya penyokong Yahudi, macamlah dia terlibat secara terus-menerus melakukan kebobrokan di bumi Palestin.
Tindakan memboikot produk yang kononnya ada hubung kait dengan ekonomi Israel itu adalah pilhan peribadi. Kalau sampai mencemuh mereka yang bekerja di restoran atau syarikat tertentu, itu bukan wajar menjadi amalan dan apalagi diteladani orang lain.
“Boikot biarlah kerana Allah bukan kerana nafsu,” demikian kata penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus.
Potongan ayat di atas barangkali kedengaran biasa-biasa, namun besar pengertiannya. Kalau benar sayangkan agama atau melakukan sesuatu demi ummah, buat dengan betul.
Baru-baru ini, ada satu video viral luar negara segerombolan tikus dilepaskan sebuah restoran makanan segera yang kononnya ada kena-mengena dengan ekonomi Israel.
Tikus-tikus itu ‘dilepaskan’ dengan niat untuk melakukan kerosakan di restoran itu dengan keadaan bulunya diwarnakan dengan rona bendera Palestin.
Tidak berada di posisi untuk mencemuh atau menidakkan tindakan tersebut, namun fikirlah sendiri sama ada tindakan itu dilunaskan kerana Allah atau nafsu sendiri untuk melihat orang lain sengsara.
Siapa tahu, di restoran terbabit terdapat pekerja yang sedang dalam kesakitan atau kesulitan. Mungkin juga orang-orang yang mereka sayang sedang setia menantikan mereka di rumah untuk meraikan gaji pertama bekerja di tempat terbabit.
Menyentuh soal hukum alam, dengan mewarnakan atau mengecat fizikal tikus dengan warna-warna tertentu bukan satu bentuk animal cruelty (kezaliman terhadap haiwan).
Sekali lagi, tepuk dada tanya selera untuk berhubung kait dengan kenyataan di perenggan di atas. Jangan kita meludah seperti apa yang pernah ditonjolkan penganut agama lain di sana kononnya agama mereka paling superior.
Sejujurnya, hati ini remuk dengan realiti yang berlaku di Gaza. Melihat manusia terutama kanak-kanak terkulai layu, berdarah di bumi sendiri, itu satu perihal yang membuatkan diri berfikir sejenak, ‘what have we all become?’ (apa sudah jadi dengan kita semua?).
Angka kematian di Gaza kian menghampiri 10,000 sejak 7 Oktober konflik Palestin-Israel meletus. Bila agaknya manusia akan berhenti melakukan kerosakan sesama sendiri.
Apa yang terjadi sekarang adalah akarnya berpunca daripada sifat haloba, dengki dan tidak pernah berasa cukup dengan apa yang terbentang di depan mata.