PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjalankan penaikan taraf sistem selama empat hari bermula 17 hingga 20 November.
Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan teknologi maklumat (IT) dan memperkukuh sistem bagi ketahanan jangka panjang.
Katanya, sepanjang gangguan sementara ini, perkhidmatan real-time dalam talian KWSP tidak akan tersedia.
“Dalam tempoh ini, ahli tidak akan dapat mengakses akaun KWSP mereka atau melakukan transaksi dalam talian. Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP juga tidak juga tidak dapat menerima panggilan sepanjang tempoh naik taraf ini.
“Cawangan-cawangan KWSP akan kekal beroperasi, walau bagaimanapun transaksi hanya akan lengkap selepas tempoh naik taraf selesai,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya, ahli dan majikan digalakkan untuk merancang keperluan kewangan mereka sebelum proses naik taraf ini dijalankan dan hadir ke cawangan KWSP apabila sistem telah kembali tersedia pada 21 November.
Ujarnya, semua transaksi atau permohonan yang tertangguh akan diproses selepas proses menaik taraf selesai.
“Walaupun penaikan taraf ini akan menyebabkan beberapa kesulitan, inisiatif ini akan menghasilkan infrastruktur yang lebih efisien dan kukuh dengan manfaat yang lebih besar.
“KWSP menghargai kerjasama ahli sepanjang tempoh menaik taraf ini dan komited untuk memberikan perkhidmatan dan keupayaan yang lebih baik setelah proses menaik taraf ini selesai,” katanya.
Untuk maklumat dan bantuan, sila layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. – KOSMO! ONLINE