PETALING JAYA – Empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh bermula Sabtu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata, cuaca buruk tersebut akan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ujarnya, semasa fasa awal MTL dari November ini hingga Januari depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.
“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac depan, utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak dijangkakan mengalami kurang hujan.
Katanya, keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac depan berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.
“Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun yang sama.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” katanya.
Layaran laman sesawang www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE