SEBERANG PERAI – Tujuh buah motosikal yang ditunggang warga asing disita dalam Ops Motosikal dan Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, kelmarin.
Jurucakap JPJ negeri berkata, operasi penguatkuasaan itu dijalankan selama dua jam setengah bermula 4 petang berhampiran plaza tol Jambatan Pulau Pinang di sini dengan kekuatan anggota seramai 14 orang.
Katanya, selain tindakan menyita, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 118 notis saman dan teknikal atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.
Penguatkuasaan ini diadakan bertujuan memantau, mengesan serta mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
“Antara kesalahan tertinggi yang dikesan sepanjang operasi penguatkuasaan itu berlangsung pula ialah tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, operasi penguatkuasaan seperti itu akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu warga asing yang enggan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan semasa memandu di negara ini tanpa sebarang kompromi. -KOSMO! ONLINE