PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk hadir ke Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan untuk menjaga hubungan diplomatik dan keamanan walaupun pendirian negara tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan menyokong Palestin.
Menurut beliau, persidangan yang akan berlangusng pada 11 hingga 17 November ini akan turut dihadiri semua negara Asia dan negara-negara APEC atas undangan Presiden AS, Joe Biden.
“Saya memutuskan untuk hadir persidangan APEC yang dihadiri semua negara-negara Asia atas undangan Presiden Joe Biden ke San Francisco. Tentunya keputusan ini mungkin tidak menyenangkan sebahagian pihak.
“Jangan hukum saya pro-Israel kerana hadir APEC kerana saya sebagai Perdana Menteri, saya juga kena jaga kepentingan negara ini, tentang keselamatan, ekonomi dan kesenangan dan tentunya tidak berganjak dalam pendirian ini (menyokong Palestin),” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Semalam, Anwar memaklumkan akan memuktamadkan keputusan kerajaan sama ada akan menyertai APEC 2023 kerana ketika ini Malaysia sedang berkoordinasi dengan beberapa negara lain yang turut sama terlibat menyertai forum itu.
Menjelaskan perkara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah berbincang dan melihat pendirian negara lain dan setakat ini semua negara Asia dan negara-negara APEC menyatakan akan hadir.
“Jadi apakah kita kerana tidak setuju dengan pendirian AS dalam isu ini kita tak hadir?
“Tetapi bagi saya kita juga kena jaga hubungan diploamtik dan keamanan walaupun tak berganjak dari sudut mempertahankan keadilan dan menyokong Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE