PASIR PUTEH – Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh mengenal pasti sebanyak lapan lokasi hotspot yang sering dilanda banjir di daerah ini sebagai langkah untuk memudahkan gerak kerja ketika proses pemidahan dilakukan kelak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, lapan kawasan itu
Kampung Daram Buaya, Tok Kundur, Gong Chokoh, Saring, Tok Sudin, Gong Tengah, Sungai Kelong dan Kedai Menanti.
Menurutnya, bagi melancarkan operasi pemindahan ketika musim banjir, bomba Pasir Puteh melakukan rondaan setiap tiga jam sekali di kawasan tersebut.
“Melalui rondaan itu, kita turut memberikan tumpuan terhadap aspek bentuk muka bumi di kawasan terlibat.
“Hal ini bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan banjir dikawasan itu berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Azhar Elmi bersama anggota turun padang melakukan tinjauan paras air di Kampung Tasek Tok Kundor, Bukit Awang di sini hari ini.
Azhar Elmi berkata, melalui rondaan itu, pemantauan terhadap paras air sungai turut dilakukan.
Katanya, langkah itu bagi memastikan segala persiapan dapat dijalankan dengan kadar segera jika air sungai melimpah. -K! ONLINE