JOHOR BAHRU – OilyLicious Healthcare Sdn. Bhd. (OilyLicious) yang merupakan rakan jenama kepada Young Living, mengunjurkan bilangan pengguna baharu bagi produk minyak pati popularnya bertambah kepada 2,000 hingga 3,000 orang pada tahun ini.
Pengasas syarikat OilyLicious, Norhidawati Abdul Aziz berkata, dalam masa yang sama, seramai 200 hingga 300 orang berminat untuk menjadi pengedar sekali gus bakal dibimbing menjadi usahawan berjaya dalam bidang tersebut.
Buat masa ini, syarikat telah memiliki kira-kira 30,000 ahli di seluruh negara yang mana majoritinya terdiri daripada kaum wanita.
Bersandarkan kepada permintaan yang tinggi itu, salah satu usaha syarikat adalah memperkasa golongan wanita tidak kira golongan suri rumah atau yang bekerjaya sehingga ke peringkat profesional.
OilyLicious telah menganjurkan program Live Your Passion Rally, aktiviti turun padang oleh Norhidawati bersama kumpulannya bertemu lebih ramai masyarakat di Kawasan Utara, Selatan dan Tengah.
Program kali ini bertempat di Jalan Tampoi di sini yang melibatkan 30 wanita daripada pelbagai latar belakang.
Menurut Norhidawati, program itu dijalankan setiap tiga bulan dalam memastikan peserta mendapat sokongan diperlukan untuk meningkatkan modal insan mereka.
“Program ini dianjurkan setiap tiga bulan sekali melibatkan 25 sesi secara bersemuka dan secara online, antara pengisiannya adalah sesi motivasi serta teknik-teknik penggunaan minyak pati,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, beliau berharap golongan wanita mengambil berat tentang aspek kesihatan mental dan emosi untuk berdepan cabaran masa kini kerana mereka adalah tulang belakang kepada setiap keluarga yang memberi sokongan kepada suami dan anak-anak.
“Keupayaan wanita untuk mengawal mental dan emosi akan beri kesan positif kepada golongan sekeliling, jika dia seorang suri rumah maka perkara itu akan beri kesan kepada suasana rumah tangga, manakala jika dia seorang wanita bekerjaya, ia akan beri kesan kepada pekerjaannya.
“Sebaliknya, sekiranya gagal mengawal, rumah tangga dan karier akan menjadi kucar kacir dan tidak menyenangkan, oleh itu adalah penting kita beri tumpuan terhadap aspek ini dalam kehidupan seharian setiap wanita,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE