SEBAGAI sebuah syarikat dalam industri seni bina luaran, perasmian atau pembukaan bilik pameran baharu untuk dikunjungi oleh orang ramai merupakan satu detik bersejarah yang cukup dinanti-nantikan.
Sebuah syarikat perintis dalam industri seni bina luaran iaitu The One Steel Project Sdn. Bhd. (TOS) telah meraikan pembukaan ruang pameran terbaharu mereka yang terletak di Semenyih, Selangor baru-baru ini.
TOS yang ditubuhkan pada 2006 itu terkenal sebagai syarikat perintis yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seni bina termasuk sambungan kaca rumah, seni bina bumbung eksklusif, bumbung kaca dan pembinaan lantai mezzanine.
TOS cukup terkenal dengan hasil kerjanya yang teliti dan turut terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian ruang seperti taman, balkoni dan beranda sehinggalah kawasan memiliki fungsi cukup estetik umpama sebuah resort.
Pengasasnya, Joey Tan berkata, pembukaan ruang pameran itu merupakan satu langkah yang cukup signifikan dalam industri berkenaan.
“Pembukaan ruang pameran TOS melambangkan satu langkah yang signifikan dalam industri ini.
“Justeru, kami akan terus menjadi perintis dalam menghasilkan ruang luar bangunan yang bukan sahaja penuh fungsi, malah memiliki estetika menawan,” katanya.
Pada majlis itu juga, Tan yang digelar sebagai wanita besi dalam industri seni bina berkongsi pengalamannya sebagai usahawan wanita dalam industri didominasi oleh kaum lelaki itu.
Jelas Tan, cabaran dan kejayaan merupakan asam garam yang perlu ditempuh sepanjang bergelar usahawan.
Berpegang teguh dengan mantra korporat syarikat iaitu; The 3Ds : We Direct, We Design, We Develop’, dia bersama 60 juruteknik berkemahiran berjaya memberikan solusi terbaik dalam industri seni bina.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan, Datuk Dr. AT Kumararajah.
“Bagi saya, Tan merupakan seorang ikon inspirasi yang berani membuat perubahan dan meletakkan piawaian tinggi dalam bidang ini,” ujar Kumarajah.