GEORGE TOWN – Tindakan pembekal menjual ayam pada harga lebih murah iaitu sekitar RM6.50 sekilogram selepas hampir seminggu subsidi ayam dimansuhkan ibarat durian runtuh kepada peniaga.
Perkara itu berikutan peniaga kini menerima jumlah pelanggan berganda berbanding sebelum 1 November ketika harga jualan ayam lebih RM9.40 sekilogram.
Seorang peniaga dikenali Din berkata, sejak Sabtu lalu, dia memperoleh ayam RM6.50 sekilogram daripada pihak pembekal selepas dua hari penamatan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan ayam.
“Sejak turun harga sehingga RM9 sekilogram, ramai pelanggan datang beli ayam berbanding awal Oktober lalu. Dulu nak dapat 20 pelanggan sehari pun payah sekarang antara 30 hingga 40 orang sehari.
“Hari ini (semalam) ada yang beli minimum dua ekor. Selain turun harga, saiz ayam yang dihantar juga besar-besar.
“Harap pembekal stabilkan harga ayam sebegini atau turunkan lagi sehingga RM6 sekilogram. Ini untuk kepuasaan bersama. Peniaga juga akan tingkatkan kuantiti tempahan jika ayam diperingkat pembekal turun,” katanya.
Sementara itu, peniaga lain, Mohamad Nasir Abdul Kalam berkata, penurunan harga ayam di peringkat pembekal semestinya ditunggu-tunggu para peniaga terutama di pasar-pasar awam negeri ini.
“Sebelum ini, harga ayam di peringkat pembekal dijual pada RM7.30 sekilogram pada namun berlaku penurunan sejak Sabtu lalu sehingga RM7 sekilogram.
“Situasi itu berbeza berbanding awal Oktober lalu naik sehingga RM8.50 sekilogram.
“Sejak itu, peniaga mula menurunkan harga dari RM9.40 kepada RM9 sekilogram,” ujarnya.
Mohamad Nasir berkata, sekiranya harga diperingkat pembekal terus stabil sebegini, mungkin harga ayam diperingkat peniaga akan turun di bawah RM9 sekilogram.
“Kami juga bimbang jika berlaku lagi kenaikkan harga ayam selepas ini, apatah lagi apabila perayaan Deepavali hampir tiba,” katanya semalam.
Ketika ini, harga ayam standard dijual di pasar pada harga RM9 sekilogram manakala ayam super RM10 sekilogram.