BANDAR GAZA – Kumpulan Hamas menyatakan semalam bahawa tentera Israel melancarkan pengeboman tanpa henti sekitar beberapa buah hospital di utara Semenanjung Gaza sejurus selepas talian telefon dan internet diputuskan, lapor laman berita Wion News.
“Selama lebih sejam, pengeboman bertubi-tubi berlaku di sekitar beberapa buah hospital. Kami juga dengan rasa dukacita mengumumkan penutupan sepenuhnya komunikasi dan perkhidmatan internet di Gaza selepas pihak Israel memutuskan sambungan pelayan,” kata ketua pejabat media Hamas, Salama Marouf.
Insiden itu merupakan pemotongan telekomunikasi kali ketiga yang dilakukan Rejim Zionis ke atas Gaza sejak perang tercetus.
Ia berlaku selepas Israel menuduh Hamas menggunakan hospital sebagai lokasi operasi ketenteraan.
Semalam, askar Israel mendedahkan apa yang didakwa sebagai rangkaian terowong rahsia, pelancar roket dan pusat arahan Hamas yang kononnya terletak bersebelahan dengan hospital di bahagian utara Gaza.
“Hamas secara sistematik mengeksploitasi hospital sebagai sebahagian daripada jentera perangnya,” kata ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari.
Hamas bagaimanapun menepis tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa dakwaan berkenaan tidak mempunyai asas kukuh.
“Tiada asas dalam tuduhan jurucakap tentera musuh (Israel),” kata ahli kanan biro politik Hamas, Izzat al-Rishq.
Tambahnya, tuduhan tersebut sengaja dibuat oleh Zionis bagi membolehkan ia melaksanakan jenayah pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Gaza. – AGENSI