LUTON – Penggempur Liverpool, Darwin Nunez hampir menjadi mangsa kecaman para penyokong sendiri apabila gagal meledak jaringan ketika mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol ketika menentang Luton Town awal pagi semalam.
Pada aksi di Kenilworth Road itu, Liverpool sekadar terikat 1-1 dan hampir diaibkan sebelum Luiz Diaz muncul penyelamat apabila meledak gol pada minit ke-95 selepas Luton mendahului menerusi jaringan Tahith Chong.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu hampir meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-69 selepas menerima umpanan Mohamed Salah, namun sentuhan terakhirnya itu tersasar tinggi ketika penjaga gol Luton, Thomas Kaminski sudah tertewas.
Bagaimanapun, nasib Nunez agak baik kerana penjaga garisan terlebih dahulu mengesan Salah berada pada kedudukan ofsaid ketika melakukan hantaran kepadanya, tetapi sentuhan terakhirnya itu jelas menimbulkan reaksi kecewa rakan sepasukan dan peminat Liverpool.
Biarpun jaringan tersebut tidak akan disahkan walaupun Nunez berjaya menyempurnakan hantaran berkenaan, namun momen berkenaan menyebabkan pemain itu masih dikritik kerana kegagalannya.
“Dia mungkin lega kerana bendera (ofsaid) sudah diangkat penjaga garisan. Saya tidak fikir saat itu akan mudah dilupakan oleh para peminat. Namun, saya yakin Salah berada pada kedudukan yang betul dan keputusan ofsaid itu silap,” kata bekas legenda Liverpool, Jamie Carragher.
Situasi itu menimbulkan komen dan kritikan keras terhadapnya terutama di laman sosial X oleh para peminat yang mengakui sudah tidak sanggup untuk melihat pemain itu mensia-siakan peluang terbaik dalam setiap perlawanan.
“Saya tidak pernah menganggap Nunez penyerang yang baik. Dia kurang ketepatan, terlalu gementar untuk menyudahkan peluang dan tidak berada pada kedudukan yang tepat untuk melakukan percubaan,” kata salah seorang peminat.
Sementara itu, seorang lagi peminat mengakui sangat hairan dengan kemampuan yang dimiliki Nunez, “Dia mampu menjaringkan gol yang sukar, tetapi terlepas untuk jaringan mudah. Saya tidak faham dengan penyerang saya ini”. – AGENSI