BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya 1.5 juta penduduk Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman tentera Israel sejak 7 Oktober lalu, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Hampir separuh daripada mereka kini berlindung di kira-kira 150 kemudahan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA).
“Gaza sedang mengalami gangguan komunikasi,” kata UNRWA di aplikasi X, selepas Israel sekali lagi memutuskan komunikasi di wilayah Palestin berkenaan.
Tambahnya, sebanyak 48 kemudahan UNRWA dilaporkan rosak di Semenanjung Gaza sejak konflik bermula.
“UNRWA tidak dapat menghubungi sebahagian besar pasukan kami,” katanya.
Tegas UNRWA, penduduk Gaza kini terasing sepenuhnya daripada keluarga mereka dan seluruh dunia.
Terdahulu Kementerian Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin serta Syarikat Telekomunikasi Palestin menyatakan, Israel telah memutuskan semua bentuk perkhidmatan komunikasi ke Semenanjung Gaza, menandakan gangguan ketiga dalam masa kira-kira 10 hari. – Agensi