SINGAPURA – Sebuah klip video memaparkan seorang penghantar makanan menuangkan semula sup yang tumpah ke dalam bekas sebelum menghantarnya kepada pelanggan, tular di media sosial Singapura, lapor laman berita Stomp hari ini.
Seorang wanita bernama Wendy berkongsi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan bangunan bersebelahan di kawasan Somme Road pada 1 November lalu.
“Saya perasan sup itu tumpah di atas tangga dan memeriksa CCTV,” kata Wendy.
Dalam video itu, penghantar makanan tersebut dilihat membuka plastik makanan di atas tangga. Dia kemudian menuang semula sup yang tumpah di dalam plastik ke dalam bekas makanan itu.
“Ia tidak bersih dan benar-benar menjijikkan. Adakah restoran itu tidak membungkus dengan betul, adakah itu punca ia tumpah atau adakah penghantar itu menjatuhkannya?
“Bagaimanapun, dia sepatutnya menjelaskan kepada pelanggan dan menyerahkan kepada pelanggan untuk membuat aduan kepada restoran atau syarikat penghantaran,” katanya. – AGENSI