KUALA LUMPUR – Aplikasi PlusVibes kini menjadi pilihan masyarakat yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah kemurungan, kewangan, rumah tangga, kesukaran untuk tidur, membuli dan juga kesunyian.
Pengenalan aplikasi yang dibangunkan usahawan muda, Madiha Fuad, 30, ini juga bertepatan dengan waktunya seiring tekanan hidup yang dihadapi masyarakat daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama ekoran wabak Covid-19.
Lebih menarik, sejak aplikasi tersebut dilancar sejak bulan Julai lalu, lebih daripada 4,000 orang telah menggunakannya dan ia sedia membantu pengguna meluahkan masalah masing-masing tanpa mendedahkan identiti masing-masing.
“Sebanyak 60 peratus daripada pengguna PlusVibes adalah golongan remaja di antara usia 13 hingga 17 tahun.
“Golongan ini nampak ceria dan tiada masalah tetapi mereka juga terbeban dengan tekanan hidup berkaitan isu pembelajaran, kasih sayang, terlalu dikongkong oleh keluarga, kewangan dan juga sikap suka membuli,” katanya di sini baru-baru ini.
Madiha menjelaskan, aplikasi PlusVibes yang boleh diakses secara percuma itu mesra pengguna dan bersesuaian dimanfaatkan oleh mereka yang kurang cekap dengan teknologi maklumat (IT).
“Apabila pengguna membuka aplikasi tersebut, mereka boleh memilih salah satu daripada lapan kategori pilihan masalah masing-masing.
“Aplikasi ini mungkin tidak dapat merawat masalah yang ditanggung pengguna 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat meluahkan perasaan yang terbuka,” ujarnya.
Tambah beliau, nilai tambah yang terdapat pada PlusVibes ialah ia mampu berinteraksi dengan pengguna oleh para kaunselornya yang berpengalaman.
Buat masa ini, syarikat memiliki kira-kira 30 kaunselor sukarelawan dan mereka boleh berinteraksi dalam lima bahasa bagi mendengar masalah dan membantu mengurangkan tekanan perasaan yang dihadapi.
“Pernah kami menerima sehingga 200 permintaan untuk berbual dengan kaunselor,” jelasnya.
Madiha berkata, berdasarkan permintaan yang bertambah setiap hari, pihaknya berharap dapat sokongan dan menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta syarikat korporat khususnya untuk membantu lebih ramai pengguna terjejas.