LONDON – Perang antara Palestin dan Israel berisiko mencetuskan kemelesetan ekonomi dunia akibat peningkatan bebanan krisis kemanusiaan terhadap ekonomi semasa yang tidak menentu, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Ketua Eksekutif BlackRock, Larry Fink berkata, kombinasi impak peperangan Israel-Hamas di Semenanjung Gaza serta konflik ketenteraan sedia ada antara Russia dan Ukraine telah memberikan tekanan kepada dunia untuk menuju ‘masa depan baharu’.
Dalam wawancara bersama akhbar Sunday Times, ketua firma pengurusan aset terbesar dunia itu memberitahu, risiko geopolitik merupakan komponen utama yang membentuk kehidupan penduduk dunia.
“Kita sedang mengalami kebimbangan yang semakin meningkat di seluruh dunia, manakala harapan pula kian terhakis.
“Kebimbangan yang meningkat ini akan menyebabkan kita mengurangkan penggunaan atau perbelanjaan.
“Justeru, kebimbangan ini boleh mewujudkan kemelesetan ekonomi yang berpanjangan. Sekiranya kita terus dilanda ketakutan ini, kebarangkalian tercetusnya kegawatan ekonomi di Eropah akan meningkat selain risiko Amerika Syarikat (AS) terjerumus ke dalam kegawatan serupa juga bertambah,” kata Fink.
Sementara itu, Jamie Dimon yang merupakan pengerusi bank terbesar AS, JP Morgan pula menambah, kombinasi kesan disebabkan perang Israel-Hamas serta konflik Russia-Ukraine adalah menakutkan dan sukar untuk dijangka.
“Apa yang berlaku ke atas situasi geopolitik kini merupakan perkara paling penting untuk masa depan dunia. Ia termasuk isu mengenai kebebasan, demokrasi, makanan, tenaga dan imigrasi,” ujarnya kepada Sunday Times.
Komen mereka disiarkan tiga minggu selepas kenyataan serupa disuarakan Dimon, yang memberi amaran bahawa dunia memasuki fasa paling berbahaya selepas beberapa dekad.
Menurutnya, konflik yang semakin memuncak di Asia Barat dan Eropah berpotensi memberi impak meluas terutamanya kepada harga tenaga, makanan, perdagangan dunia dan hubungan diplomatik.
Minggu lalu, akhbar The Economist melaporkan bahawa konflik Israel dan Hamas mencetuskan ancaman ekonomi global berikutan kebergantungan dunia terhadap hasil minyak dan gas di rantau Asia Barat.
Dalam artikel bertajuk The World Economy Is Defying Gravity. That Cannot Last, ia menyebut bahawa hasil minyak di rantau Asia Barat merangkumi satu pertiga daripada pasaran dunia.
Justeru, lonjakan harga minyak akibat konflik peperangan akan mencetuskan kegawatan ekonomi global. – AGENSI