KEMAMAN – Seorang pembantu kedai makan berputih mata apabila kerugian kira-kira RM4,000 setelah beg galasnya dilarikan penjenayah di premis makanan tersebut di Kampung Meraga Beris di sini pada kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, beg galas Siti Mariam Md. Noor, 34, yang mengandungi wang tunai RM1,700 dan pelbagai barangan berharga termasuk telefon bimbit dilarikan dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan.
Siti Mariam berkata, sewaktu kejadian, dia dan tiga rakan sekerjanya serta majikannya sedang menyiapkan tempahan makanan.
“Sebenarnya pada hari tersebut kedai (makan) tidak dibuka kerana kami mengambil tempahan.
“Tidak lama kemudian, sebuah kereta berwarna putih berhenti di hadapan kedai sebelum dua lelaki keluar kononnya mahu makan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Meraga Beris di sini hari ini.
Siti Mariam berkata, salah seorang daripada dua suspek kemudiannya meminta ihsan diberikan air masak setelah dimaklumkan premis makanan mereka tidak beroperasi pada hari berkenaan.
Tambahnya, lelaki itu menghulurkan bekas air, namun sewaktu dia mahu ke bahagian dapur untuk mengisi air, salah seorang daripada suspek tiba-tiba mengambil beg galasnya yang diletakkan di atas sebuah kerusi.
“Mereka cepat-cepat lari masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju. Saya yang tergamam hanya sempat menjerit meminta pertolongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE