fbpx

Atlet makin tenang, artis mula bimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

RAMAI yang kecewa dan tidak kurang yang mengeluh sebaik pengumuman rasmi mengenai pembatalan saingan Piala Malaysia dibuat pada 11 November lalu.

Bermula dari pihak pengurusan sehinggalah kepada pemain dan jurulatih, hampir semua tampil dengan nada kurang senang. Di pihak penyokong dan peminat sukan bola sepak, tindakan protes secara terang-terangan telah dibuat di media sosial.

Persoalan yang dilontarkan, mengapa sukan No.1 itu tidak dapat diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP), sedangkan penganjuran program hiburan masih boleh diteruskan?

Menjawab persoalan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri memberikan beberapa sebab yang munasabah. Antara alasannya, bola sepak adalah sukan bersentuhan selain melibatkan kumpulan individu yang ramai dan memungkinkan risiko penyebaran Covid-19 berlaku.

Selain itu katanya, SOP bagi persembahan hiburan adalah lebih mudah dilaksanakan berbanding perlawanan bola sepak.

Bagaimanapun, sejak kelmarin, ada drama baharu yang tercetus dan watak utamanya adalah dalam kalangan artis tempatan. Semua gara-gara keputusan ujian saringan yang diperoleh Alif Satar yang mengesahkan selebriti serba boleh itu disahkan positif Covid-19.

Asbab keputusan itu, maka gemparlah lapangan hiburan sehingga memaksa siaran langsung bagi satu acara pertandingan lagu ditunda serta-merta.

Tidak cukup dengan itu, semua krew termasuk artis yang terlibat dalam program tersebut terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 selain perlu dikuarantin.

Rentetan daripada kisah itu, maka berlakulah adegan ‘sindir-menyindir’ dan tuduh-menuduh dalam kalangan netizen.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan penyokong bola sepak yang sebelum ini ‘kecewa’ kini kembali cergas dengan hujah-hujah mereka.

Sasaran kemarahan pastinya kepada pihak kerajaan atas keputusan membenarkan penganjuran acara hiburan.

Benar, apa yang berlaku di gelanggang hiburan itu bukanlah sesuatu yang disengajakan. Namun, kesan daripada kejadian itu sudah pasti menuntut tindak balas daripada pihak berkepentingan untuk mengkaji semula segala kelonggaran yang telah diberikan.

Di pihak rakyat, mereka hanya ingin mendengar berita-berita baik daripada kerajaan dan mengharapkan agar pandemik Covid-19 ini dapat berakhir secepat mungkin.

Paling penting, rakyat dapat kembali bekerja seperti biasa dan meneruskan kehidupan bebas bersama keluarga di luar sana.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI